Friday, May 17, 2013

Ada lagi anak dara sunti kena rogol

Akhbar Harian Metro semalam melaporkan 2 orang anak dara sunti dirogol dalam kejadian yang berbeza. Kejadian pertama berlaku apabila 3 orang warga Pakistan memperdaya seorang budak perempuan dan di bawa ke sebuah hotel di Cheras lalu di rogol oleh salah seorang lelaki warga asing tersebut. Budak perempuan tersebut ditinggalkan di tepi jalan dan ditemui orang awam.

Kejadian kedua berlaku apabila seorang budak perempuan diperdaya oleh seorang lelaki yang mahu memberinya makan buah-buahan. Budak perempuan tersebut lantas di bawa ke sebuah rumah dan dirogol..

Kedua-dua kejadian melibatkan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun. 

Keselamatan anak-anak perempuan sekarang memang amat menakutkan ibu bapa. Kes rogol kanak-kanak amat berleluasa. 

Syaitan yang bertopengkan manusia sentiasa mencari peluang untuk memperdaya wanita dan gadis yang lemah. Mereka hilang kewarasan kerana telah dikawal oleh nafsu serakah. Di mana nilai kemanusiaan? Sampai bila perkara ini akan berlarutan? 

Apalah budak perempuan bawah umur tu tahu? Masih terlalu kecil untuk mengetahui yang mereka jadi mangsa keganasan. Betapa sukarnya pengalaman yang mereka lalui. Sewajarnya ibu bapa lebih prihatin. Sentiasa pastikan anak-anak dalam keadaan selamat dan terkawal. 

Berdoa lah pada Allah agar sentiasa memelihara kesejahteraan anak-anak dan keluarga supaya terhindar dari malapetaka dan bahaya.



Kisah ibu biasa yang amat bermakna untuk anak-anaknya...



Dirogol teman lelaki

" Berita Harian 13 Mei 2013 melaporkan bahawa seorang pelajar berusia 17 tahun telah diculik, dirogol dan dikurung selama 24 jam oleh teman lelakinya. 

Macamana nak elak kejadian dirogol oleh teman lelaki? 

1. Elakkan bertemu dengan boy friend secara sembunyi-sembunyi. Kalau nak jumpa bf, beritahu mak dan ayah. Selalunya parents tidak akan beri kebenaran anak gadisnya keluar bersama bf. Standard lah tu. Parents yang tak prihatin dan hilang kewarasannya sahaja yang  memberi kebenaran anak daranya untuk keluar dating. Tetapi, kalau kamu dapat kebenaran untuk dating, beritahu parents kamu, waktu bila kamu akan sampai rumah, ke mana kamu nak pergi dan pastikan telefon bimbit tidak dimatikan.

2. Invite bf datang rumah. Makan malam dengan parents, lepas makan, balik terus. Jangan nak bersidai lama-lama kat rumah anak dara. 

3. Bawa seseorang untuk temankan kamu jumpa bf. Sama ada kawan perempuan, adik lelaki, adik perempuan atau sepupu. Pastikan yang temankan kamu berumur 16 tahun ke atas, dan tahu bezakan mana yang betul atau yang salah. Herm.. jangan pulak ajak adik kamu yang baru merumur 5 tahun, ok..Pendek kata yang boleh buat report kepada parents kamu sepanjang kamu dating.

4. Elakkan dari pergi berjumpa di tempat yang gelap, tiada orang, sunyi, dan tempat-tempat yang kamu tidak kenal dengan orang sekeliling. 

5. Elakkan dari mengikut bf check in hotel atau rumah rehat.

6. Elakkan dari mengikut bf balik ke rumah sewanya, walaupun dengan apa alasan sekali pun.

7. Elakkan dari mengikut bf balik ke rumah ibu bapanya, sebab ada kebanyakan kes, parents tiada di rumah, so senang bf nak kerjakan kamu.

8. Elakkan keluar selepas 8.00 malam. Sepatutnya, pada waktu ni kamu bersiap-siap untuk berehat atau menonton tv. 

9. Elakkan menaiki kereta bf di waktu malam kalau tiada orang lain (orang ke tiga).

10. Elakkan mengikut bf balik ke kampung dan menempuh perjalanan menaiki bas, keretapi dan kenderaan awam. 

11. Jangan percayakan diri kamu sendiri. Jangan percaya bf kamu. Kalau kamu berdua-duaan, orang yang ke tiga sure syaitan yang di rejam...


Cinta dan kasih sayang ditunjukkan dengan rasa tanggungjawab dan hormat kepada wanita.
Bukan dengan mempergunakan teman wanita sebagai tempat melampias nafsu. Kalau bf kata, dia nak kamu punya 'bunga' sebab dia sayang dan cinta kamu, awas, dia telah berbohong.. Sebab yang bercakap tu sebenarnya bukan dia, tapi syaitan yang berada di sampingnya... Selamatkan diri dari kerakusan nafsu, semoga kamu selamat dan sejahtera.




Kisah ibu biasa yang amat bermakna untuk anak-anaknya...







Friday, March 8, 2013

Kisah Ibu Tua di Hari Wanita



Salam keamanan...

Suatu hari seorang anak telah menelefon ibunya yang sudah tua dan bertanya khabar. Oleh kerana tinggal berjauhan, hanya telefon yang jadi penghubung kasih sayang kedua-duanya. Si anak menyedari ada yang tak kena dengan si ibu apabila dia dalam keadaan diam dan kurang berbual. Lalu si anak telah bertanya dengan si ibu tua.


"Mak, kenapa? Mak tak sihat ke?"

" Sihat..cuma.."
"Cuma apa mak?" Kata anak.
" Cuba mak cerita.." sambung si anak lagi..

" mmm.. macam ni, mak dah kehabisan duitlah, kebetulan 2 minggu sudah mak beli tudung 2 helai, sebab tudung tu cantik sangat, mak suka.. tapi mahal sikit..mak dah guna duit simpanan untuk beli tudung.." jawab mak serba salah..

" jadi, mak nak mintak duit sikitlah.. sebab.. Jumaat depan mak nak pegi klinik. Mak dah tempah gigi baru. mak ingat duit simpanan mak ada lagi, rupa-rupanya mak dah terguna semua..." sambung mak lagi dengan rasa serba salah..

Si anak rasa sangat terharu kerana sepanjang hidupnya itulah pertama kali si ibu meminta wang dari anaknya. Pada kebiasaannya, semua anak-anak si ibu tua akan memberikan wang saku bulanan walaupun si ibu tidak pernah meminta...


Si ibu memang akan menyembunyikan kesusahannya dan selalu akan berusaha sendiri untuk menyelesaikan masalah. Seboleh-bolehnya, dia tidak mahu menyusahkan anak-anaknya... Ini adalah kerana si ibu telah biasa berdikari.


Oleh kerana si ibu tidak mempunyai akaun bank, si anak telah meminta rakannya untuk mengirimkan sejumlah wang melalui kiriman wang di Pos Malaysia. Dengan segera, si anak memberitahu ibunya, " mak, maaf ye saya tak dapat balik kampung dan bagi duit kat mak sekarang sebab saya tak dapat cuti. Jadi, saya dah kirimkan duit, tapi mak kena ambil kat kaunter di pejabat Pos ye".

" Esok, pukul 9.00 pagi, mak ajak Din teman mak pergi pejabat Pos ye.." kata si anak.

" ya, terima kasih ye nak sebab tolong mak.." jawab mak dengan nada yang sedih dan terharu.


Pada keesokan petangnya si anak menelefon ibunya dan bertanya mengenai kiriman duit tersebut. Ini adalah kerana si anak amat bimbang si ibu tidak dapat mengambil wang sebagaimana yang telah diminta. Maklumlah, ini kali pertama si ibu mengambil wang kiriman di kaunter.


Apabila mendengar sapaan anak di hujung telefon, si ibu kedengaran sungguh gembira. Dengan nada yang riang, ibu menceritakan kisah bagaimana dia ke kaunter Pos dan mengambil wang kiriman.


(nota: si ibu telah dihantar oleh anak buahnya ke Pejabat Pos)


" Mak pagi tadi lepas sembahyang subuh, terus kemas bilik, basuh baju, masak nasi dan lauk sikit. Lepas mandi, mak terus siap-siap. Mak nak pukul 9.00 mak dah ada kat pejabat pos". katanya gembira.


" lepas tu, orang pos cakap apa mak?" kata si anak.


" Dia kata..mak cik nak buat apa?" kata petugas pejabat Pos.

" saya nak ambil duit anak saya hantar" kata si ibu sambil memberi tahu nama anaknya dan kad pengenalan.
" Oh. ok. " lalu petugas tersebut menyemak no IC dan tiba-tiba dia berkata: " makcik, memang mak cik dapat kiriman wang, tapi Ishak ni siapa?". Petugas pejabat pos merasa pelik kerana nama anak yang di beri oleh si ibu adalah berlainan dengan nama pengirim yang terpapar di skrin kumputernya.

Si ibu terdiam dan berfikir laju. Macamana pulak Pak Ishak ni boleh pegi KL dan ambil duit dari anak aku? Aku tengok dia ada je kat rumah semalam. kalau dia pegi KL pun, kenapa dia tak bagi sendiri duit pada aku? Kenapa dia masukkan kat pejabat Pos pulak? Dia kan duduk sebelah rumah saja. Perbagai soalan bermain di fikirannya. 


(nota : Ishak yang bermain dalam fikirannya adalah jiran sebelah rumah)


Setelah dilihat si ibu tidak menjawab soalannya, petugas di pejabat kaunter tersebut lalu berkata; " oh, mungkin Ishak ni kawan anak makcik kot. Mungkin anak makcik tak sempat nak masukkan duit sendiri".


" Baik makcik, ini duit mak cik yang anak mak cik kirim". kata petugas kaunter.


Si ibu telah menerima wang tersebut sambil mengalirkan airmatanya. Si ibu merasa sangat sedih kerana di kala dia kesusahan ada seorang hamba Allah yang dia tak pernah jumpa sanggup menolong anaknya dan masukkan kiriman wang untuk digunakan pada hari Jumaat ini.


Apabila melihat si ibu mengalirkan air mata, petugas kaunter telah bertanya; " mak cik kenapa mata mak cik menangis?"


Si ibu menjawab, " mak cik bukan menangis, mata mak cik masuk habuk" katanya sambil keluar dari pejabat Pos.


Apabila mendengar kisah ibunya, si anak sambil ketawa bertanya, " mak kenapa mak menangis?. Kan sekarang mak boleh ambil gigi mak kat klinik tu.."


Si bu menjawab: " mak sedih, sebab waktu mak tengah susah, ada orang yang mak tak kenal tolong kirimkan duit kat pejabat pos untuk mak, walaupun mak tak pernah jumpa kawan kamu, dia sudi tolong mak.." kata ibu sambil menangis dan tersedu.


Si anak tidak dapat menahan perasaan dan turut rasa terharu dengan luahan hati ibunya.


"nanti kalau kamu jumpa dia, sampaikan salam mak pada dia ye dan cakap mak ucapkan banyak-banyak terima kasih". sambung si ibu lagi.


Lalu si anak cepat-cepat meminta diri dan mengakhiri perbualan di telefon kerana dia tidak mahu ibunya mendengar tangisannya.


Si anak merasa sangat terharu kerana ibunya sangat menghargai pertolongan orang lain walaupun ia hanya bantuan kecil di kala dia di dalam kesusahan.


Jagalah ibu kita semasa dia hidup, dan doakan dia sekiranya dia telah meninggal dunia.


Selamat Hari Wanita kepada semua ibu-ibu yang dicintai.



Kisah ibu biasa yang amat bermakna untuk anak-anaknya.



Saturday, February 2, 2013

Bedah Siasat Sahkan Kanak-Kanak Tiga Tahun Mangsa Dera


Sabtu Februari 2, 2013; KUALA LUMPUR: Polis berkata bedah siasat ke atas kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang mati di kediamannya di Semenyih semalam mengesahkan budak itu adalah mangsa dera.
Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Ab Rashid Ab Wahab berkata hasil bedah siasat tersebut di Hospital Serdang mendapati punca kematian kanak-kanak itu adalah akibat terkena benda keras dan pendarahan di kepala selain lebam di bahagian dada, tangan dan kesan rotan di kaki.
"Menurut doktor, terdapat dua kesan dera, yang terbaru kesan baru dua hari dan yang lama sudah seminggu," katanya ketika dihubungi Bernama.
Muhammad Irfan Raiyan Muhammad Shahn ditemui tidak bernyawa, oleh ibunya, ketika mahu mengejutkan anaknya itu, yang tidur, untuk mandi pada pukul 11 pagi semalam.
Ab Rashid berkata ibu mangsa seorang suri rumah berusia 25 tahun akan dipanggil untuk soal siasat mengikut seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001. BERNAMA
 sumber: http://mstar.com.my/berita/jenayah/cerita.asp?file=/2013/2/2/mstar_jenayah/20130201153508&sec=mstar_jenayah