Friday, March 8, 2013

Kisah Ibu Tua di Hari Wanita



Salam keamanan...

Suatu hari seorang anak telah menelefon ibunya yang sudah tua dan bertanya khabar. Oleh kerana tinggal berjauhan, hanya telefon yang jadi penghubung kasih sayang kedua-duanya. Si anak menyedari ada yang tak kena dengan si ibu apabila dia dalam keadaan diam dan kurang berbual. Lalu si anak telah bertanya dengan si ibu tua.


"Mak, kenapa? Mak tak sihat ke?"

" Sihat..cuma.."
"Cuma apa mak?" Kata anak.
" Cuba mak cerita.." sambung si anak lagi..

" mmm.. macam ni, mak dah kehabisan duitlah, kebetulan 2 minggu sudah mak beli tudung 2 helai, sebab tudung tu cantik sangat, mak suka.. tapi mahal sikit..mak dah guna duit simpanan untuk beli tudung.." jawab mak serba salah..

" jadi, mak nak mintak duit sikitlah.. sebab.. Jumaat depan mak nak pegi klinik. Mak dah tempah gigi baru. mak ingat duit simpanan mak ada lagi, rupa-rupanya mak dah terguna semua..." sambung mak lagi dengan rasa serba salah..

Si anak rasa sangat terharu kerana sepanjang hidupnya itulah pertama kali si ibu meminta wang dari anaknya. Pada kebiasaannya, semua anak-anak si ibu tua akan memberikan wang saku bulanan walaupun si ibu tidak pernah meminta...


Si ibu memang akan menyembunyikan kesusahannya dan selalu akan berusaha sendiri untuk menyelesaikan masalah. Seboleh-bolehnya, dia tidak mahu menyusahkan anak-anaknya... Ini adalah kerana si ibu telah biasa berdikari.


Oleh kerana si ibu tidak mempunyai akaun bank, si anak telah meminta rakannya untuk mengirimkan sejumlah wang melalui kiriman wang di Pos Malaysia. Dengan segera, si anak memberitahu ibunya, " mak, maaf ye saya tak dapat balik kampung dan bagi duit kat mak sekarang sebab saya tak dapat cuti. Jadi, saya dah kirimkan duit, tapi mak kena ambil kat kaunter di pejabat Pos ye".

" Esok, pukul 9.00 pagi, mak ajak Din teman mak pergi pejabat Pos ye.." kata si anak.

" ya, terima kasih ye nak sebab tolong mak.." jawab mak dengan nada yang sedih dan terharu.


Pada keesokan petangnya si anak menelefon ibunya dan bertanya mengenai kiriman duit tersebut. Ini adalah kerana si anak amat bimbang si ibu tidak dapat mengambil wang sebagaimana yang telah diminta. Maklumlah, ini kali pertama si ibu mengambil wang kiriman di kaunter.


Apabila mendengar sapaan anak di hujung telefon, si ibu kedengaran sungguh gembira. Dengan nada yang riang, ibu menceritakan kisah bagaimana dia ke kaunter Pos dan mengambil wang kiriman.


(nota: si ibu telah dihantar oleh anak buahnya ke Pejabat Pos)


" Mak pagi tadi lepas sembahyang subuh, terus kemas bilik, basuh baju, masak nasi dan lauk sikit. Lepas mandi, mak terus siap-siap. Mak nak pukul 9.00 mak dah ada kat pejabat pos". katanya gembira.


" lepas tu, orang pos cakap apa mak?" kata si anak.


" Dia kata..mak cik nak buat apa?" kata petugas pejabat Pos.

" saya nak ambil duit anak saya hantar" kata si ibu sambil memberi tahu nama anaknya dan kad pengenalan.
" Oh. ok. " lalu petugas tersebut menyemak no IC dan tiba-tiba dia berkata: " makcik, memang mak cik dapat kiriman wang, tapi Ishak ni siapa?". Petugas pejabat pos merasa pelik kerana nama anak yang di beri oleh si ibu adalah berlainan dengan nama pengirim yang terpapar di skrin kumputernya.

Si ibu terdiam dan berfikir laju. Macamana pulak Pak Ishak ni boleh pegi KL dan ambil duit dari anak aku? Aku tengok dia ada je kat rumah semalam. kalau dia pegi KL pun, kenapa dia tak bagi sendiri duit pada aku? Kenapa dia masukkan kat pejabat Pos pulak? Dia kan duduk sebelah rumah saja. Perbagai soalan bermain di fikirannya. 


(nota : Ishak yang bermain dalam fikirannya adalah jiran sebelah rumah)


Setelah dilihat si ibu tidak menjawab soalannya, petugas di pejabat kaunter tersebut lalu berkata; " oh, mungkin Ishak ni kawan anak makcik kot. Mungkin anak makcik tak sempat nak masukkan duit sendiri".


" Baik makcik, ini duit mak cik yang anak mak cik kirim". kata petugas kaunter.


Si ibu telah menerima wang tersebut sambil mengalirkan airmatanya. Si ibu merasa sangat sedih kerana di kala dia kesusahan ada seorang hamba Allah yang dia tak pernah jumpa sanggup menolong anaknya dan masukkan kiriman wang untuk digunakan pada hari Jumaat ini.


Apabila melihat si ibu mengalirkan air mata, petugas kaunter telah bertanya; " mak cik kenapa mata mak cik menangis?"


Si ibu menjawab, " mak cik bukan menangis, mata mak cik masuk habuk" katanya sambil keluar dari pejabat Pos.


Apabila mendengar kisah ibunya, si anak sambil ketawa bertanya, " mak kenapa mak menangis?. Kan sekarang mak boleh ambil gigi mak kat klinik tu.."


Si bu menjawab: " mak sedih, sebab waktu mak tengah susah, ada orang yang mak tak kenal tolong kirimkan duit kat pejabat pos untuk mak, walaupun mak tak pernah jumpa kawan kamu, dia sudi tolong mak.." kata ibu sambil menangis dan tersedu.


Si anak tidak dapat menahan perasaan dan turut rasa terharu dengan luahan hati ibunya.


"nanti kalau kamu jumpa dia, sampaikan salam mak pada dia ye dan cakap mak ucapkan banyak-banyak terima kasih". sambung si ibu lagi.


Lalu si anak cepat-cepat meminta diri dan mengakhiri perbualan di telefon kerana dia tidak mahu ibunya mendengar tangisannya.


Si anak merasa sangat terharu kerana ibunya sangat menghargai pertolongan orang lain walaupun ia hanya bantuan kecil di kala dia di dalam kesusahan.


Jagalah ibu kita semasa dia hidup, dan doakan dia sekiranya dia telah meninggal dunia.


Selamat Hari Wanita kepada semua ibu-ibu yang dicintai.



Kisah ibu biasa yang amat bermakna untuk anak-anaknya.